Saturday, December 3, 2011

Balada Kisah Derita

Sempena Hari Aids Sedunia...

Balada Kisah Derita

Rasaku…

jiwaku…

nyawaku…

Bagai buih yang terapung di wajah air…

Tika dilambung ke udara..

Di saat dihempas ke pesisir..

Ditelan ombak yang menggila..

Tiada tenang..tiada damai…

Tiada setitis kasih sayang di samudera ini..

Wahai semilir yang bertiupan,

Khabarkanlah balada ini.

Telah ku himpun tiga ceritera derita,

Kerana mereka perlu tahu,

Khilafku bukan hendakku…

Dosaku bukan inginku..

Maafmu itu adalah dambaku..

I

Apalah noda pada sehelai kain putih seperti aku..

dikirim oleh Tuhan mu sebagai amanah.

Agar menyambung wasilah keluarga.

Di rumah perlindungan ini.

Aku menghirup kasih sayang insan mulia

Tapi aku tahu..

Dia bukan ibuku..dia bukan ayah kandungku..

Begitu juga sahabat sebumbung di sini.

Kami bermain di ruang yang terpencil di sudut dunia.

Kami bebas bergaul sesama kami,

tapi tidak dengan insan lain..

Jijik kata meraka, geli sindir mereka, berjangkit pesan mereka,

Dimanakah salahku?

Aku yang masih pelat bunyi tuturnya,

Yang masih kabur antara dosa dan pahala,

Yang masih bingung dibelenggu rasa.

Tahukah kalian, darah yang mengalir dalam tubuh anak kecil seperti aku..

Adalah milik insan durjana yang merobek maruah ibuku.

Meragut kesucian, membenamkan benih tercemar ke dalam tubuhnya.

Namun, kalian masih mencemuh kami kerana dosa orang lain..

Aku sedar, segala tohmahan ini kerana,

Akulah anak kecil yang berusia enam tahun.

pembawa derita yang walang itu.

II

Sudah lali aku dipersendakan.

Sudah kebal telinga ini mendengar sumpah seranah..

Ya..benar..

aku menyara tubuh ini dengan ringgit yang kotor.

aku lumurkan maruahku dengan lumpur nafsu.

betapa lorong itu menjadi saksi.

rumah tumpangan itu juga sering memerhati.

aku dan manusia-manusia itu,

memalit dosa, menempah kamar di neraka.

Sering terbayang di fikiran,

Setiap kali aku diperhambakan sebegini rupa,

Aku tertanya-tanya,

Pada diriku yang jahil,

Mahupun pada tuhan yang Esa..

Apakah dosa isteri yang taat setia.

Menanti suami dengan penuh sabar, penuh tawaduk, penuh cinta.

Agar mengimamkan aku di atas sucinya tikar sejadah.

Namun, di dalam wuduk aku dinoda,

Tatkala aku dibaringkan, dilahap teman judi yang serakah.

Puas sudah aku menangis.

Kontang sudah air mata,

Tapi engkau, engkau dan juga engkau..

Tiada simpati, langsung tidak mahu mengerti..sekadar mengirim caci..

Kerana aku adalah perempuan sundal yang dibenci..

Pembawa derita yang walang itu.

III

Tiada lagi serpihan kudrat untuk mengaut sesuap nasi,

Apalah daya di kala kulit sudah berpisah dengan isi.

Menggigil kesejukan.

Terbiar di balik tong sampah.

Terbaring di atas lipatan kotak.

Terdampar mengira detik dicabut nyawa.

Ketika najis dadah menjadi kiblat.

Pahit benar madu dunia,

Baru terasa nikmat sesaat cuma.

Kini,

Berlabuh senja di ufuk waktu.

Terperosok aku di lembah kenangan.

Terbayang seksa di saat rumah ibarat neraka.

Sepak terajang ayah menjadi babak percuma.

Caci maki ibu bagaikan halwa telinga,

meronta gelora jiwa remaja.

Ketika itulah.

Bisikan iblis semerdu suara,

Ajakan teman seenak santapan diraja,

Membuat aku menyuntik bisa ke pembuluh darah

Akhirnya aku terbiar di sini.

Kerana aku lah insan tua selayaknya dicerca,

pembawa derita yang walang itu..

Terbiar, terdampar , terbuang..

Kesepian, kesunyian, kehinaan…

Seksa, derita dan air mata..

Sekian lama bersarang di lubuk hati.

Sebelum Izrail memenggal roh dari jasad,

Aku hembuskan dalam nafas-nafas terakhir ku

Mengharap titis keampunan kerana telah berpaling dari nikmat adikaraNya.

Dan pada kamu tempat aku berkongsi udara,

Bukan wang, bukan ihsan dan bukan jua simpati yang aku perlukan..

Cukuplah sekadar cebisan sifatmu sebagai manusia yang manusia.

Kerana,

Khilafku bukan hendakku.

Dosaku bukan inginku..

Maafmu itu adalah dambaku..

Ezal Ezham bin Azami.

No comments:

Post a Comment