Saturday, December 3, 2011

Ulasan Filem ~ Ombak Rindu ~

Tuhan tolong lembutkan hati dia

Untuk terima ku seadanya

Kerna ku tak sanggup

Kerna ku tak mampu

Hidup tanpa dia di sisi ku

Bait-bait lagu ombak rindu nyanyian Hafiz dan Adira bergema hampir setiap masa sepanjang filem ‘Ombak Rindu” membuatkan ‘feel’ terbuai-buai. Hari ini 3/12/2011, memang sengaja saya memilih dan menunggu untuk membuat ulasan mengenai karya hebat di penghujung tahun 2011, ‘Ombak Rindu”.

Baiklah, sebelum bermula ulasan ini, sebagai sebuah karya yang diterjemah dari sebuah novel ke sebuah lakon layar yang menjelma di panggung, adalah lebih baik tiada perbandingan dibuat oleh para penonton. Sebagai penonton anda tidak akan merasai apa yang dirasai oleh pembaca. Malah, apa yang dirasakan oleh pembaca adalah berbeza-beza mengikut interpretasi secara individual. Hal ini menjadi isu saban kali setiap karya yang dihasilkan dalam bentuk penulisan dan dibawa ke dalam bentuk visual/lakonan, masyarakat menghukum filem di layar tidak menepati cita rasa dan gambaran yang muncul di layar imaginasi mereka. Hal ini mudah, andai anda menikmati sesebuah bahan bacaan, anda membayangkan situasi mengikut kehendak hati dan nafsu anda sendiri. Tapi apabila ia difilemkan dan dilakonkan kembali, ia lebih mengikut kehendak dan rasa yang diterjemah oleh pengarah dan penulis skrip. Saya berasa agak mual dengan penonton yang pernah membaca karya asal kemudian menzahirkan rasa tidak puas hati kerana ia tidak menepati cita rasa mereka. Nasihat saya mudah, buat produksi sendiri dan bikin filem sendiri. Cubalah jadi manusia berintelek yang mampu merasa kehebatan karya ini melalui kedua-dua medium sama ada novel mahupun filem. Perbandingan antara kedua adalah tidak adil kerana novel dan filem adalah dua elemen yang berbeza.

Pertama sekali, ikhlas saya akui, saya berusaha untuk menonton filem ini dan hanya berkesempatan menikmati ‘ karya agung’ ini pada hari kedua tayangan. Semenjak filem hebat ini diuar-uarkan di media, hati sudah diombak dan dibadai. Mendengar pada nama pengarah filem ‘Ombak Rindu’ ini sahaja sudah membuatkan saya tidak sabar untuk menikmati ‘santapan diraja’ hasil air tangan Osman Ali. Tambahan pula, filem ini diwarnai oleh bakat-bakat hebat tanahair, kehadiran pelakon ‘A-List” seperti Maya Karin membuatkan filem ini menjadi kewajipan untuk ditonton. Malah, kehadiran hero yang tengah panas, Aaron Aziz juga menambah rempah ratus di dalam filem ini. Begitu juga dengan kewujudan Lisa Surihani dan Bront Palare. Selain itu, ‘Ombak Rindu’ turut dibintangi Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri, Julia Ziegler dan lain-lain.

Secara ringkas, kisah ini adalah cinta antara Hariz dan Izzah, dua insan yang lahir dari dua dunia yang berbeza, kisah perjalanan izzah yang menjadi seorang ustazah yang mengajar anak-anak kampung mengaji Al-Quran, dilacurkan oleh pakciknya sendiri, dikerjakan oleh Hariz lalu dibeli untuk dijadikan perempuan simpanan, akhirnya bernikah dan timbullah bibit-bibit sayang. Kehadiran Mila dalam filem ini menambahkan konflik di mana dia dan Hariz dipaksa berkahwin. Kemudian kehadiran Mail pula menjadikan fitnah daripada ibu Hariz menjadi dan menambahkan konflik. Saya tidak mahu bercerita lebih panjang kerana bagi saya anda tidak akan mengalami ombak dan badai itu sekiranya anda tidak berada di dalam panggung dan menyaksikan sendiri garapan kemas Osman Ali. Sudah karya hebat, diterjemah pula oleh orang-orang hebat, dibawakan pula pelakon-pelakon hebat. Ia Ibarat seketul permata bernilai, diberikan pula pada pencanai yang sangat mahir, kemudian diperagakan oleh ‘supermodel’ hebat di dunia. Tentulah ia kelihatan hebat dan menarik perhatian. Analogi yang senang untuk difahami. Jadi tidaklah perlu untuk diceritakan secara detail sentuhan-sentuhan magis Osman Ali di dalam ’Ombak Rindu’. Secara keseluruhannya, ia sebuah filem yang kemas, meruntun dan ia bersifat realisme. Mungkin tak ramai yang menyedari kehadiran aliran realisme dalam garapan Osman Ali, di mana aliran realisme ini mendekatkan lagi karya itu di hati penonton. sebagai contoh kecil yang mungkin terlepas pandang, kemeja rona biru berkedut yang dipakai oleh Mail ketika menghantar Izzah di stesen kereta api. Kisah cinta pemuda kampung dengan gadis kampung diterjemah dengan baik tanpa mengetepikan unsur-unsur realistik situasi yang sebenar. Sebab inilah saya meminati karya-karya Osman Ali. Cita rasa dan ketelitian yang bernilai dalam industri perfileman negara. Lupakan kepanasan babak-babak di ranjang antara Hariz dan Izzah, dapatkan rasa bagaimana seseorang itu terpaksa berkongsi tubuh pada yang bukan hak. Tak perlulah diperbesar-besarkan isu panas yang remeh dan temeh sebegitu.

hariz dan Izzah

Tak perlu saya mengulas berkali-kali tentang kekuatan cerita ini, tidak kiralah dari bentuk penulisan mahupun terjemahan di layar panggung. Memang karya ini hebat. Oleh itu saya lebih berminat untuk mengulas tentang hasil lakonan pelakon-pelakon hebat di dalam filem ini. Jujur, saya mengalirkan air mata jantan ini beberapa kali ketika dibadai ‘ombak Rindu’.

Kita bermula dengan watak Izzah yang dibawa dengan penuh jujur dan baik oleh Maya karin. Selayaknya Primadona ini dipilih bagi menggalas watak yang sangat mencabar. Inilah kehebatan Maya Karin, Puntianak dalam PHSM I & II, gadis Melayu dalam Hati Malaya, Ariana dalam Waris Jari Hantu , Bella dalam Pisau Cukur dan lain-lain watak, beliau tidak pernah mengecewakan saya. Pembawaan yang sungguh realistik dari Maya Karin ke dalam jiwa Izzah begitu menjadi. Jujurnya riak muka, gerak tubuh dan lafaz kata-kata membuatkan saya tidak mengingati nama Maya Karin, saya merasakan bahawa Izzah yang sedang membawa dirinya di dalam layar. Hebat bukan penangan pelakon kacukan ini? Kesabaran, kesedihan, kepahitan, kesengsaraan, kebahagiaan, kegembiraan dan lain-lain perasaan hidup dibawa oleh Maya Karin. Getar dan getap bibir Izzah ketika menahan perasaan yang terpendam membuatkan air mata saya bertakung. Maya Karin berjaya menghasilkan elemen ketenangan dalam diri Izzah. Bayangkan, bagaimana jiwa seorang ustazah yang mengajar Al-Quran diseret ke kancah pelacuran, dari kampung ditinggalkan di tengah kota, dari seorang anak dara dibeli untuk memuaskan nafsu seorang lelaki yang akhirnya dirayu menjadi suami demi mendapatkan redha Allah. Tenangnya Izzah bila berhadapan dengan Mila yang juga merupakan madunya. Tenangnya Izzah apabila dihalau oleh Ibu Hariz. Kesimpulannya ,lakonan Maya Karin sebagai Izzah di dalam ‘Ombak Rindu’ tak perlu dipertikaikan lagi dan harus diberi pujian. Well done Maya!!

Izzah

Watak Hariz yang dilakonkan oleh Aaron Aziz memang menjadi. Malah, akan menjadi sebutan dan sebutan sekalian wanita yang melihat. Wataknya tak terlalu mencuba, itulah magisnya. Hariz seorang usahawan muda yang kaki perempuan, akhirnya tumpas dengan seorang gadis dari kampung. Apa yang menarik, kerana kekuatan yang dibawa oleh Izzah, saya dapat merasakan runtuhnya ego lelaki yang bernama Hariz. Disebalik ketegasan Hariz, ada perasaaan sayang dan kasih. Ini yang memahalkan lakonan Aaron Aziz di dalam ‘Ombak Rindu’. Beberapa adegan yang menggegarkan hati wanita apabila Hariz menzahirkan rasa cinta dia pada Izzah. Lakonannya juga realiastik, pilihan yang tepat. Saya kira apabila saya gagal mencari pengganti Aaron Aziz untuk watak Hariz, bermakna beliau berjaya melahirkan Hariz di dalam dirinya. Hariz berjaya dibentuk dan diterjemahkan dengan baik, ditambah dengan kehadiran Mila dan Ibunya sendiri yang membuatkan watak Hariz menjadi. Apa yang menarik, saya teruja melihat Hariz menitiskan air mata yang turut memberikan kesan hebat dalam filem ini.

Mila pula dibawa dengan jayanya oleh Lisa Surihani. Saya percaya banyak yang dilakukan oleh Lisa untuk membawa watak Mila di dalam cerita ini. Cuma impak yang diberikan oleh Mila di dalam cerita ini tidak lah begitu memberi sesuatu. Sekadar penghias bagi saya. Menjadi seorang artis yang mempunyai peminat bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk Lisa, jadi mudah baginya membawa watak Mila, efek kedivaannya kurang asam dan garam, menyebabkan saya tidak dapat rasakan pengaruh kuatnya sebagai seorang yang ternama yang memaksa Hariz menikahinya. Bukanlah Lisa gagal, cuma mungkin tidak diserlahkan aura artis terkenal di dalam filem ini. Cuma saya tersentuh dengan pendirian yang wujud dalam diri Mila di saat-saat penghujung filem ini.

Mila

Watak mail walaupun muncul sekali skala, namun pujian harus diberikan pada Bront Palare, terbukti beliau memang pelakon yang hebat. Saya dapat merasai jiwa yang meronta-ronta cintakan Izzah. Pemuda kampung yang kacak ini pandai bermain dengan mimik muka disamping tone suara yang garau dan besar, membuatkan dia sedikit sebanyak memberi kesan di dalam filem ini. Hebat lakonan Bront, saya simpulkan, dia memang berbakat besar.

Izzah dan Mail

Watak lain yang muncul Ibu Sufiyah, Pak Dollah dan Mak Jah dan lain-lain sekadar bahagian-bahagian 'jigsaw puzzle' yang melengkapkan ‘ Ombak Rindu’. Saya pernah berjumpa dengan Zaidi Omar yang melakonkan watak Pak Dollah, beliau adalah beliau,punyai kelas lakonan yang tersendiri. Penghayatan yang tersendiri.

Akhir kata sebelum ditutup baris kata dalam ulasan ini, ‘Ombak Rindu’ adalah naskhah pembacaan yang bagus dan hebat. Begitu juga selepas ia diterjemahkan dan diinterpretasikan ke dalam bentuk filem. Bukan mudah untuk menghasilkan naskhah sebegini hebat, tapi jangan lupa, bukan mudah juga untuk menjadikan naskhah itu ke dalam bentuk lakon layar dan skrip. Malah, bukan mudah untuk menterjemah lapisan-lapisan skrip ke dalam bentuk perasaaan untuk dilakonkan. Usah jadi seperti katak yang terkurung di dalam tempurung yang tersimpan di dalam kotak di dalam sebuah gaung. Lihat dan tonton berbeza dengan membaca dan membayangkan. Selamat ber‘ombak rindu’ di panggung!!

No comments:

Post a Comment