Thursday, February 2, 2012

Ulasan Anugerah Juara Lagu 26




Persembahan pembukaan

Slot kali ni menampilkan gandingan tiga lagenda seni suara tanah air , Jamal Abdillah, Awie Wings dan Datuk Sheila Majid. Gemersik suara raja Pop Jamal Abdillah mengundang sorakan dan tepukan penonton. Nyata masih berbisa aura Jamal Abdillah. Dengan susunan muzik dan elemen guruh dan kilat membuatkan penonton berteriakan.



Persembahan diteruskan dengan lagenda rock Awie yang nyata masih mempunyai ribuan peminat.  Mood konsert semakin naik ketika Awie membuat persembahan.



Munculnya Datuk Sheila Majid melengkap Trio persembahan pembukaan, namun sayang sekali bagi saya, suara ratu jazz Malaysia ini lebih sesuai dinikmati di malam gala, persembahan minggu Setiausaha dan mungkin di kelab-kelab mewah. Maaf, saya tidak dapat merasai kesinambungan persembahan awal Jamal Abdillah dan Awie pada persembahan Datuk Sheila Majid.



Projek Pistol ~ Wanita Seluruh Dunia.



Bagi saya, lagu ini sekadar penghias dalam Juara lagu kali ini, elemen rock yang cuba disampaikan tidak mampu memukau seperti lagu-lagu rock kapak pada zaman 80-an dan 90 an. Sebagai finalis yang pertama membuat persembahan, lagu ini memberi ruang pada lagu lain untuk lebih menonjol. Rasanya persembahan seperti ini boleh dinikmati di mana-mana persembahan untuk kumpulan-kumpulan rock yang seangkatan dengannya.


Jaclyn Victor ~ Sedetik Lebih



Lagu berhantu ini sepatutnya dialunkan lebih Melayu oleh Jac. Entahlah, mungkin kerana ini adalah lagu asal milik Anuar Zain membuatkan Jac perlu keluar dari bayangan Anuar. Namun persembahan Jac tidak pernah menghampakan saya. Pada mulanya saya yakin persembahan vokal terbaik milik Jac. Namun finalis-finalis seterusnya membuatkan saya kembali berteka-teki tentang keputusan. Susunan muzik untuk lagu ini di Anugerah Juara Lagu 26 juga sedikit berlainan dan sedap didengar. Jac tampil dengan busana mewah dengan perincian kristal membuatkan saya terpegun seketika. Apa pun, persembahan Jac kali ini tidak menghampakan saya. Syabas!

Atilia & Monoloque ~ Kekanda Adinda



Terlalu berlebihan. Cuba memberikan mood kampung namun kesannya tidak sampai sepenuhnya. Atilia bagus dalam penyampaian namun tidak dapat dirasai kolerasi dan chemistry di antara dia dan Monoloque. Dengan penataan cahaya, elemen visual di skrin, kedudukan pemuzik tambahan menyebabkan secara fizikalnya, persembahan ini kelihatan berselerak. Kekuatan vokal juga tidak dapat dirasai pada persembahan ini.


Yunalis Zarai ~ Gadis semasa



Tampil berseluar sendat dan berjaket dan berhud, penyanyi dan komposer yang sedang meningkat naik ini gagal memikat hati saya sebagai penonton. Entah lah, Yuna memang pencipta lagu yang bagus dan setiap lagunya ada kelainan yang tersendiri. Cuma cara nyanyiannya, bahagian mulut atau alat artikulasi seperti hidup segan mati tak mahu membuatkan saya tercari-cari apakah perkataan dan patah lirik yang disebut oleh Yuna. Hasilnya, saya menganggap persembahan dia gagal kerana saya perlu berusaha sedaya-upaya untuk mengenal pasti bait-bait lirik yang cuba disampaikan.


Suhaimi Meor Hassan, Ultimet & Ana Rafalli ~ Kalau Berpacaran



Set yang menyemakkan pandangan. Lagu nasihat era baru yang funky ini tidak berhasil pada malam AJL26 kali ini. Kesalahan besar yang dapat dikesan ialah apabila set dibina terlalu besar dan penari yang diupah untuk menyerikan suasana terlalu ramai menyebabkan berlakunya dosa ‘blocking’. Bagi yang memahami mesti tahu apa yang dimaksudkan dengan blocking, kesalahan asas yang tak sepatutnya berlaku di persembahan-persembahan pada majlis berprestij seperti AJL. Ketika sakan menari, salah seorang penari telah menghalang Ana Raffali di belakang. Selain daripada itu, trio kali ini tidak menjadi dan hambar. Tidak dapat dikenal pasti di mana yang kurang dan terlebih.


Najwa Latif ~ Cinta Muka Buku



Gadis sekolah ini membuat kejutan apabila lagu ciptaannya layak ke peringkat Akhir AJL26. Persembahan yang agak membosankan dan tidak tersusun. Props yang terlampau banyak sebenarnya tidak memberi impak pada persembahan, malah mencacatkan persembahan secara tidak langsung. Taburan belon-belon putih biru tidak memberi apa-apa kesan, malahan kalau dilihat kehadiran dua pelakon yang rasanya tak tahu langsung tentang lakonan sebagai pasangan bercinta pada persembahan kali ini dilihat sebagai satu gangguan. Kemudian ditambah dengan dua orang crew membuka kotak putih di tengah pentas juga menunjukkan ketidakbersihan pada konsep dan idea persembahan. Maaf Najwa Latiff. Cuba lagi.


Faizal Tahir ~ Karma

 

Kehadiran FT kali ini lebih tidak mencuba nyata membuahkan hasil. Faizal tampil ringkas dalam persembahan kali ini, tiada gimik air dan pelakon hebat dibawa ke tengah pentas. Sekadar piano berapi yang mengingatkan saya pada Lady Gaga. Secara peribadi, persembahan yang biasa-biasa dan selalu kita perolehi dari Faizal. Terdetik di hati saya, mungkin kekecewaan AJL tahun lalu membuatkan Faizal tampil bersih pada tahun ini. Tahniah atas tempat Ketiga.


Yunalis Zarai ~ Penakut



Sususan Stand light putih memenuhi ruang pentas dan yuna tampil anggun dalam gaun dan turban. Ramai yang menjangkakan lagu ini akan mempunyai kedudukan kali ini.Tapi bagi saya, lontaran vokal Yuna diakui semakin bagus (selepas ‘Dan Sebenarnya’ di AJL dua tahun lalu) . Namun sebutan patah kata Yuna masih mengganggu. Saya mengejar bait-bait lagu yang keciciran di dalam rongga mulut Yuna. Sayang sekali, lagu yang bagus namun apakan daya, apabila liriknya tidak sampai, saya tidak dapat menghayati kekuatan Yuna kali ini. Persembahannya pada AJL lepas melalui ‘Cinta Sempurna’ lebih berbisa.


Aizat Amdan  ~ Sungai Lui



Sayang seribu kali sayang, lagu ini mempunyai jiwanya yang tersendiri. Sehingga saya pernah terbaca di sesebuah penulisan yang berbunyi, “Ibarat Sungai Lui tanpa angklungnya”. Entah apa yang kurang dari Aizat kali ini. Mungkin gubahan baru komposisi muzik lagu Sungai Lui kali ini menyebabkan ia tersekat di mana-mana sehingga tidak sampai pada jiwa saya sebagai penonton. Penggunaan pelukis pasir nyata berbeza namun tidak digunakan dengan baik. Graf persembahan secara keseluruhan dalam persembahan ini naik turun naik turun.

Alyah ~ Kisah Hati



Persembahan yang sangat memukau! She captured me at the moment she sang the song. Ringkas, bermakna dan hebat. Kehadiran pelawak ala-ala Charlie Chaplin menunjukkan elemen ‘theatrical’ yang mudah dan mencuit hati ( saya rasa kalau pelawak ini tampil bisu dan hanya lebih menggunakan ekspresi muka dan lenggok badan sahaja persembahan akan menjadi lebih menarik). Kemudian kehadiran Alyah dengan gaun kembang yang sungguh manis dan tidak terlalu ber’volume’, tambahan dengan mekap seakan patung di atas roda musical box membuatkan saya dan penonton di stadium Putra Bukit Jalil bergegar. Komposisi dan susunan pencahayaan juga sangat membantu memberi impak pada persembahan ini. Alunan vokal yang mantap dan jelas tiap patah bait lirik lagu yang puitis membuat persembahan ini sampai terus ke dalam jiwa. Pendapat saya, inilah persembahan terbaik Alyah sepanjang saya mengenali beliau dalam arena seni suara. Yang menambah manis persembahan ini, kehadiran pelakon idaman Malaya, Remy Ishak membuatkan stadium menjadi gamat. Selayaknya mendapat persembahan terbaik. 5 bintang buat Alyah!

Hafiz AF7 ~ Awan Nano



Pertama sekali saya tabik  dengan penyanyi muda yang berbakat besar ini. Tampil segar dan lain dari yang lain. Di awal persembahan Hafiz, tayangan keratan video klip asal lagu ini membuatkan saya terfikir, “ahh, bosan la, asyik drama je Hafiz ni ”. Namun bila beliau mula menyampaikan lagu hasil garapan sifu M.Nasir dan lirikl dari Budi Hekayat ini, saya mula beranggapan yang dia akan memperoleh sesuatu malam ini. Mungkin penonton di rumah tidak menyedari berlaku kesilapan teknikal di Stadium ketika hafiz menyampaikan lagu ini. Kerana inilah saya kagum dengan anak muda ini, dia teruskan persembahan tanpa menghiraukan gangguan pada speaker di bahagian atas. Hafiz fokus dan tenang mengalunkan Awan Nano. Siapa sangka, walau menghadapi masalah yang tidak dijangka, Vokal terbaik dan Juara Keseluruhan milik Hafiz menerusi lagu Awan Nano.


Ning Baizura, Shila Hamzah & Jaclyn Victor ~ Beribu Sesalan



Persembahan finalis yang terakhir pada AJL26. Memang persembahan yang dinanti-nantikan. Ternyata trio 3 Suara ini tidak mendukacitakan saya. Saya rasa saya sangat berpuas hati dengan lontaran vokal Ning kali ini ( tidak seperti ketika menyampaikan lagu Awan Yang Terpilu di AJL beberapa tahun lalu). Ning tampil lebih yakin dan tenang membuatkan keunikan suara Ning dapat dinikmati sepenuhnya. Begitu juga dengan kelunakan suara Shila Hamzah dan Jac. Gubahan muzik yang sedap dan lontaran vokal yang seimbang ketiga-tiga penyanyi ini membuatkan persembahan kali ini menjadi. Pada saya, mereka bijak dengan membawa keunikan dan kekuatan vokal masing-masing untuk dipersembahkan pada AJL kali ini. Tidak terlalu berlebih-lebihan. As usual, Less is More. Tahniah atas kemenangan sebagai Naib Juara AJL26.


Persembahan penutup



Tribute to Sudirman Haji Arshad yang menampilkan tiga penyanyi lelaki yang mempunyai kelebihan vokal masing-masing. Persembahan dimulakan dengan Black dengan Basikal tua, kemudian kehadiran Hazama dengan Balik Kampung dan Azlan & The Typewriter  dengan Chow Kit Road. Disusuli dengan Salam Terakhir oleh ketiga-tiga penyanyi. Maaf.Gangguan teknikal berlanjutan sehingga ke saat persembahan penutup membuatkan saya yang berada di kerusi penonton ( aras 4) tidak dapat merasai kehebatan penutupan AJL26 kali ini.

Secara peribadi , saya rasa Kisah Hati layak diangkat sebagai Juara Lagu melalui persembahan yang padu dan kemas. Lontaran vokal yang lebih menyengat, persembahan yang kemas, susunan muzik yang bagus, penataan pencahayaan yang memberi impak yang sangat berkesan sepatutnya menjadikan Alyah sebagai Juara pada AJL kali ini. Manakala, selayaknya Beribu Sesalan di tangga yang kedua kerana mereka juga memberi persembahan yang bagus dan menakjubkan. Keunikan dan kekuatan vokal dan penyampaian 3 suara dialunkan dengan penuh seimbang. Untuk tempat ketiga bagi saya, Sedetik lebih layak menjulang piala. Walaupun tidak dialunkan oleh ANuar Zain, kekuatan lagu ini terletak pada arrangement music dan liriknya yang puitis.

Secara keseluruhannya, pihak penganjur berusaha sebaik mungkin cuba membuat kelainan pada AJL26 kali ini. Mungkin tidak mahu kontroversi pada AJL yang lalu menjadi sekali lagi pada kali ini. Apa yang berbeza tahun ini, penggunaan air hujan tiruan di depan pentas menjadikan elemen air sampai kepada penonton. Saya kurang pasti kesan hujan tiruan melalui kaca TV, namun kesannya menjadi ketika saya menonton secara langsung. Gandingan Faizal Ismail dan Cheryl Samad menjadi walaupun ketiadaan Ally Iskandar. Malah lebih kemas apabila hanya bersiaran di dua spot atau tempat sahaja. Malahan , penggunaan sistem penjurian baru juga menunjukkan penganjur cuba melakukan sesuatu agar tidak terjatuh di ‘lubang’ yang sama lagi.  Saya kira banyak yang dilakukan oleh pihak penganjur demi menjaga rating rancangan ini.



No comments:

Post a Comment